KENAPA MESTI CEMERLANG
Kejayaan dan kecemerlangan bukan hanya dilihat pada satu aspek sahaja, malah perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Antaranya pelajaran, kerjaya, persatuan, sukan, perniagaan dan sebagainya. Di samping itu, ia juga menghentikan tabiat dan perkara yang tidak disenangi seperti merokok, mengurangkan berat badan bagi mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan dan boleh membawa kepada pelbagai penyakit juga adalah satu kejayaan.
Sebelum melangkah lebih jauh, tanyakan diri kita kenapa mesti cemerlang? Dan mungkin kenyataan-kenyataan ini yang menyusul sebagai jawapan:
- Kerana hendak maju dan meningkat taraf hidup.
- Hendak menjana sumber kewangan.
- Hendak senang dalam hidup.
- Dipaksa berjaya contohnya desakan ibu bapa supaya kita cemerlang dalam peperiksaan.
- Kerana sebab-sebab lain.
Walau apapun jawapannya, kita perlu berjaya. Sekiranya kita seorang peniaga, sudah tentu kita mahu berjaya dalam perniagaan. Pelbagai cara dan langkah dilakukan bagi meningkatkan keuntungan dan produktiviti. Tetapi kecemerlangan yang terhasil daripada penipuan dan tidak berlandaskan syarak tidak boleh diertikan sebagai kejaan yang sebenarnya. Sebagai seorang peniaga Muslim contohnya, barangan perniagaan hendaklah barang yang halal dijual, tiada sebarang unsur penipuan kepada pelanggan, tiada istilah sorok barang dan tidak menaikkan harga berlebih-lebihan sehingga boleh menindas pengguna. Kemudian mesti mengeluarkan zakat perniagaan dan yang penting perniagaan itu tidak melalaikan diri daripada tuntutan-tuntutan agama seperti sembahyang.
Cemerlang dalam konteks perniagaan, peniaga-peniaga yang jujur mendapat perhatian Tuhan sebagaimana dalam hadis yang dilaporkan oleh Imam Tirmizi,: ( peniaga-peniaga akan dibangunkan pada hari Kiamat sebagai seorang yang fakir dan fasik, melainkan peniaga yang bertakwa, berbuat baik dan jujur).
Satu gambaran yang sudah sinonim dalam ajaran Islam mengenai urusan tugas dan pekerjaan adalah pencapaian tahap prestasi kerja yang cemerlang. Islam menetapkan sejak awal lagi apa jua urusan dan tugasan yang dilakukan wajarlah secemerlang mungkin. Bagi mencapai hasrat ini, Islam mempunyai kod etika dan indeks prestasinya yang tersendiri yang didahului oleh keimanan, ketakwaan dan berusaha bagi memenuhi reda Ilahi. Tugas yang dipikul pula adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Inilah konsep yang palibg asas yang perlu difahami oleh setiap individu yang beriman dengan Islam.
Perlu dinyatakan di sini, negara-negara Islam yang menganggotai OIC mewakili jumlah penduduk dunia yang besar sekitar 1.3 bilion dan mempunyai keluasan bumi yang besar. Ia juga merangkumi 32.3 juta kilometer persegi dunia yang diduduki serta mempunyai sumber tenaga manusia danhasil bumi dan laut yang besar, tetai menghasilkan pendapatan negara berjumlah AS$1.3 trilion sahaja berbanding negara-negara bukan OIC yang mencecah kepada AS$30 trilion dalam tahun 2002.
( Dipetik daripada Utusan Malaysia: 16 April 2004)
Berdasarkan kenyataan di cébela, kerana itulah kita mahu cemerlang. Kita tidak mahu umat Islam mempunyai bilangan yang ramai tetapi daripada segi kualitinya tidak seberapa. Lebih baik menjadi golongan yang kecil tetapi mempunyai kualiti dan prestasi yang mantap. Tuhan menjelaskan di dalam Quran surah alBaqarah ayat 249 yang bermaksud, " Berapa ramai golongan yang kecil dapat menewaskan golongan yang ramai dengan izin Tuhan, sesungguhnya Tuhan bersama-sama orang yang sabar." Kenyatan kualiti lebih penting daripada kuantiti.
Bagi mencapai kecemerlangan dan kejayaan, kita perlu mengubah mindset untuk berjaya. Orang yang cenderung mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi, tidak ada pemikiran yang bersungguh-sungguh mahu berjaya, tidak ada motivasi mahu belajar secara berterusan adalah mereka yang melihat negatif ke arah kejayaan.
Apabila diteliti, mengapa sesuatu bangsa boleh berjaya dan mencipta peradaban yang gemilang? Jawapannya mudah, kerana mereka ada pemikiran untuk berjaya, mereka mahu memperbaiki diri dan memperkasakan apa yang mereka miliki sama ada dalam aspek ilmu, teknologi dan sebagainya. Hal ini bertetapan dengan penjelasan Tuhan di dalam al-Quran surah al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud, "Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubah nasib mereka."
Ayat ini secara jelas menunjukkan kaum yang tidak ramai tidak diubah nasibnya sekiranya mereka tidak mahu berubah. Apatah lagi sekiranya kita seorang sahaja yang tidak mahu berubah, sudah tentu nasib kita kekal di tahap lama sahaja.
Tegasnya di sini, individu memperoleh sesuatu mengikut apa yang diusahakan. Sekiranya individu itu bermotivasi melakukan sesuatu bagi kepuasan dirinya sendiri, ia pasti memperolehnya. Sekiranya dia melakukan sesuatu bagi mendapat pengiktirafan orang lain juga, sudah pasti dia mendapat pengiktirafan itu dan sekiranya dia tidak bermotivasi dalam melakukan sesuatu, pasti dia tudak memperoleh apa-apa. Semuanya bergantung pada diri sendiri.
Kenyataan ini selaras dengan pandangan Saedah et al. (1996) yang membahagikan motivasi kepada tiga kategori iaitu seorang individu mungkin tergolong dalam golongan bermotivasi intrinsik, bermotivasi ekstrinsik ataupun tidak bermotivasi.
CIRI-CIRI INDIVIDU BERJAYA DI DALAM SURAH AL-MUKMINUN
Quran memberi garis panduan ciri-ciri yang berjaya antaranya melalui ayat 1 hingga 11 surah al-Mukminun. Ayat pertama dimulakan dengan," Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." Enam ciri-ciri itu adalah:
- Khusyuk dalam sembahyang.
- Menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan sia-sia.
- Berusaha membersihkan hartanya dengan menunaiakn zakat.
- Menjaga kehormatan.
- Menjaga amanah dan janjinya.
- Menjaga sembahyang.
Manakala dalam ayat 10 dan 11, Tuhan menyatakan yang bermaksud," Mereka itulah yang berhak mewarisi syurga Firdaus, mereka pasti kekal di dalamnya." Huraian mengenai enam ciri-ciri itu adalah:
- Sembahyang yang sempurna ituadalah sembahyang yang dilaksanakan dengan khusyuk, dengan sepenuh hormat dan ingatan meliputi anggota-anggota badan dan hati.
- Menjauhkan diri daripada perbuatan sia-sia seperti lepak, mengabaikan pengurusan waktu dan bertangguh kerja.
- Mengeluarkan zakat adalah manifestasi syukur dan berkongsi rezeki serta mereka yang lebih memerlukan.
- Menjaga kehormatan. Iaitu menjauhi zina dan sebagainya kerana kemaluan adalah amanah.
- Orang-orang beriman yang berjaya adalah mereka yang memelihara amanah, tidak mengkhianati, bahkan mereka menjaganya dan menyerahkannya kepada tuannya. Apabila mereka berjanji, mereka tidak khianati bahkan mereka menepatinya kerana sifat khianat dan mencabuli janji adalah sifat-sifat munafik.
- Menjaga sembahyang iaitu memelihara waktu sembahyang dan melaksanakannya pada awal waktu.
Inilah spesifikasi-spesifikasi orang beriman yang berjaya. Apabila mereka melaksanakan perkara di atas dengan ikhlas, pasti ada ganjaran dan kejayaan iaitu mewarisi syurga Firdaus yang merupakan syurga yang paling tinggi kedudukannya dalam senarai syurga-syurga.
Sekiranya kita teliti, mewarisi syurga Firdaus adalah jawapan mengapa orang-orang beriman perlu berjaya dan memiliki spesifikasi-spesifikasi yang di sebutkan di atas.
CIRI-CIRI INDIVIDU BERJAYA DI DALAM SURAH AL-BAQARAH
Kerap kali ayat-ayat di dalam Quran dihubungkaitkan dengan dua frasa iaitu, " wahai orang yang beriman" dan "beramal salih." Mengapa iman dan amal salih ini saling berkait? Iman adalah matlamat kecintaan kepada Tuhan dan amal salih adalah pembuktian iman yang dimiliki oleh seorang individu. Orang yang menyatakan dia beriman tetapi tidak mengerjakan amal salih sebenarnya masih belum melengkapi pakej keimanan kepada Tuhan.
Dalam ayat 1 hingga 5 surah al-Baqarah yang bermaksud,"Alif Laam Miim. Inilah kitab (Quran) yang tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa." Orang yang bertakwa adalah mereka yang menjauhi perbuatan maksiat dan menunaikan klewajipan. Dengan cara itu dapat menjauhkan diri mereka daripada balasan buruk. Dalam ayat seterusnya dinyatakan pula ciri-ciri orang bertakwa iaitu::
- Beriman dengan perkara-perkara ghaib: membenarkan syurga, neraka, hari perhitungan, kiamat dan sebagainya yang dikhabarkan oleh Tuhan.
- Mendirikan sembahyang: menunaikannya sebagaimana yang sudah difardukan.
- Sedekahkan harta: sama ada dalam bentuk ilmu, wang dan sebagainya.
- Beriman dengan kitab quran dan kitab sebelum Quran.
- Beriman dengan hari akhirat.
Kemudian,dalam ayat5, Tuhan menjelaskan yang bermaksud,"Mereka itulah yang orang-orang yang mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, mereka itulah orang-orang yang berjaya." Nyata sekali, mereka yang memenuhi spesifikasi-spesifikasi takwa dilabelkan sebagai orang yang berjaya.
TIP CEMERLANG OLEH IMAM AL-GHAZALI
Imam al-Ghazali (1992) mendefinasikan cemerlang dan berjaya dalam aspek yang pelbagai antaranya:
- Lisan: Hendaklah menghindari diri daripada bercakap dusta, ghibah atau benda yang bukan-bukan, menyebarkan fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap.
- Hati: Dengan membuang rasa permusuhan, dengki dan sebagainya menjadikan individu lebih ceria dan sihat menjalani kehidupan.
- Pandangan: Orang yang cemerlang tidak berminat dengan perkara-perkara haram. Malah apabila dia memandang sesuatu, pasti mengambil iktibar daripadanya.
- Perut: Tidak mengisi dengan makanan daripada sumber yang haram serta makan memadai dengan keperluannya.
- Kedua tangan: Tidak menngunakannya bagi perkara-perkara yang haram seperti mencuri, mengambil hak orang lain dan sebagainya.
- Langkah kaki: Tidak berjalan melakukan maksiat bahkan digunakan menuju ke majlis-majlis ilmu dan bertemu dengan orang-orang salih.
- Taat: Mencari keredaan Tuhan dan takut pada riak dan munafik.
0 comments:
Post a Comment